"KUALA LUMPUR 13 Mac - Seorang pelancong wanita dari Amerika Syarikat mengalami mimpi ngeri setelah disamun dan dirogol oleh pemandu teksi di sebuah inap desa di Sungai Pelek, Sepang dekat sini semalam.
Mangsa berusia 25 tahun menjadi mangsa penjenayah berkenaan selepas menaiki teksi suspek di sebuah pusat beli-belah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya dekat sini.
Pemandu teksi iaitu seorang lelaki berketurunan India kemudian membawa mangsa ke sebuah inap desa di Sungai Pelek sebelum menyamun dan merogolnya."
Artikel Penuh
Laporan berita tersebut dipandang serius Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, beliau menyatakan bahawa SPAD sedang bekerjasama dengan pihak Polis bagi mengesan mereka yang terlibat.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu/pengendali jika siasatan mengesahkan dakwaan tersebut,” beliau dipetik sebagai berkata.
Ketam pastinya menyokong bahawa tindakan yang tegas perlu diambil sekiranya benar dakwaan tersebut. Mereka yang terlibat melakukan jenayah memang perlu dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Di pihak kita sebagai pengguna perkhidmatan pula haruslah sentiasa berwaspada agar kita tidak terjebak dengan perkara sedemikian. Selain itu kita juga perlulah berhati-hati agar kita tidak ditipu dari segi tambang yang tinggi dan sebagainya.
Dan SPAD sebagai perancang dan pengawal selia pengangkutan awam darat sebenarnya telah mengeluarkan garis panduan yang boleh dijadikan rujukan kepada pengguna. Paling asas sekali ialah dengan memastikan bahawa teksi tersebut memaparkan Kad Pemandu di ruangan papan pemuka (‘dashboard’) teksi tersebut. Kad Pemandu ini dikeluarkan oleh SPAD dengan mengambil kira latarbelakang pemandu yang memohon.
Inilah perkara pertama yang kita sebagai penumpang perlu lakukan iaitu kita hendaklah memastikan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah sama dengan pemandu teksi. Contoh Kad Pemandu boleh dilihat dilihat di halaman sesawang S.P.A.D. di www.spad.gov.my
Diharapkan agar kita semua akan lebih berhati-hati di masa hadapan dan dielakkan dari ditimpa perkara-perkara sedemikian. Sama-samalah kita saling beringat antara satu sama lain..salam…
No comments:
Post a Comment