Oleh Naimah Shaari
Manifesto Pakatan Rakyat (PR) yang dilancarkan kelmarin bukanlah satu janji yang menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat, sebaliknya semata-mata satu helah untuk meraih populariti di kalangan pengundi, kata penganalisis politik.
Malah, menurut anggota Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Zainal Kling janji pakatan pembangkang untuk menyediakan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga menara gading dibuat tanpa memikirkan kesan baik dan buruk sesuatu cadangan sebelum melaksanakannya.
“Kalau dia nak guna pendapatan-pendapatan lain minyak misalannya, maka, dia terpaksa memikirkan kewangan pembangunan yang berkurangan, kemudahan lain yang berkurangan, bantuan minyak yang berkurangan, bantuan kebajikan-kebajikan yang berkurangan.
“Jadi bermakna dia boleh buat, tapi dia terpaksa mengurangkan banyak perkara dalam hal kebajikan, bantuan-bantuan kemudahan lain, kemudahan pembangunan dan sebagainya,” kata Zainal kepada Antarapos.
Bagaimanapun, Zainal menegaskan negara akan menanggung beban yang terlalu besar termasuk jumlah hutang yang tinggi akibat dari janji-janji manis pakatan pembangkang.
“Kerajaan tidak akan muflis tetapi kerajaan akan menanggung beban yang banyak dan dalam jangka panjang, akan melibatkan hutang yang lebih banyak dan banyak kemudahan-kemudahan sosial yang tidak dapat dikendalikan,” katanya.
Pakatan pembangkang kelmarin melancarkan sepuluh manifesto menjelang PRU13 antaranya pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga menara gading, kad keahlian DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS yang boleh diguna pakai di mana-mana plaza tol untuk mendapat tol percuma dan bantuan perniagaan RM10,000 kepada setiap peniaga yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Zainal dalam pada itu turut menyifatkan janji manis Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma sebagai 'cakap-cakap kosong' demi memancing undi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
Katanya, jika pembangkang benar-benar serius dalam melaksana pendidikan percuma, perkara itu boleh dilaksana sejak 2008 di negeri mereka seperti di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Bagaimanapun, katanya sebaliknya pula yang berlaku.
Baca selebihnya di portal berita Mychannel13
No comments:
Post a Comment