Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Tuesday, June 04, 2013

Pejam, Celik..Pejam Celik, Tiga Tahun Sudah SPAD Berhempas-pulas Mengangkat Martabat Pengangkutan Awam Negara



Semalam, 3 Jun 2013 genaplah tiga tahun penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai sebuah badan berkanun di negara tercinta ini. Untuk itu, posting kali ini adalah tribute kepada suruhanjaya ini yang telah melakar pelbagai kejayaan dalam tempoh yang singkat di dalam mengangkat imej pengangkutan awam negara.

Berperanan meningkatkan sistem pengangkutan awam negara yang menjadi teras Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal telah dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menggalas amanah sebagai pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) suruhanjaya ini yang pertama ketika ia ditubuhkan.

Tumpuan terlebih dahulu ketika ini diberikan kepada Semenanjung Malaysia sebelum ia diperluaskan ke peringkat seterusnya yang bakal merangkumi Sarawak dan Sabah.

Selain itu, suruhanjaya ini turut berperanan di dalam menentukan dasar dan merancang perkhidmatan rel, bas dan teksi serta pengangkutan barangan melalui rel dan jalan raya melalui pengambilalihan peranan Jabatan Keretapi Malaysia, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) serta fungsi Pesuruhjaya Pelancongan dalam urusan perlesenan bas-bas pelancongan.

Diletakkan di bawah pengawasan Datuk Seri Najib sendiri, visi suruhanjaya ini adalah untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat untuk menjadi mod pilihan rakyat.

Misinya pula adalah untuk memastikan bahawa sistem pengangkutan awam darat adalah selamat, boleh diharap, responsif, mudah diakses, terancang, bersepadu, mampu dibayar dan lestari bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup.

Rakyat di negara ini sewajarnya berasa beruntung memandangkan Malaysia adalah sebuah negara membangun yang mempunyai kemudahan infrastruktur pengangkutan yang baik setanding dengan kebanyakan negara maju.

Dari segi pengangkutan darat misalnya, rangkaian lebuh raya dan jalan raya di Malaysia adalah sepanjang hampir 6,3000 kilometer. 2.6 peratus daripadanya adalah lebuh raya yang kualitinya setanding dengan yang ada di negara maju lain.

Selain itu, Malaysia turut dilengkapi dengan perkhidmatan rel yang menyambungkan beberapa bandar utama dari utara hingga pantai timur dan selatan Semenanjung. Sejarah membuktikan betapa kewujudan sistem rel turut memainkan peranan besar pertumbuhan ekonomi negara.

Dan menyedari hal itulah maka lahirnya inisiatif kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan sistem keretapi laju yang bakal melibatkan negara jiran, Singapura. Sekiranya sistem yang menghubungkan kedua-dua negara ini dilaksanakan, ia berpotensi membawa manfaat dari segi ekonomi yang besar kepada negara. Buat masa ini SPAD masih lagi mengkaji cadangan tersebut.

Soal inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan dengan jayanya oleh suruhanjaya ini pula banyak sebenarnya untuk diulas dan telahpun Ketam ulas sebelum ini. Cumanya di sini Ketam ingin sekali lagi mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dengan suruhanjaya ini di atas kejayaan cemerlang mereka setakat ini. Diharapkan mereka terus gigih di dalam mengangkat imej negara Malaysia yang tercinta ini.

Adios!!



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...