Tak salah sebenarnya sekiranya PKR, sebuah parti yang didominasi oleh kaum kerabat dan kroni Anwar Ibrahim dianggap semakin sombong dan takbur. Selepas pilihanraya 2008 dilihat sedikit menyebelahi mereka, nampaknya kini mereka seolah-olah telah jauh tersasar dari objektif yang diperjuangkan apabila dilihat lebih mementingkan diri demi mengesahkan kekuasaan yang kononnya sudah sebelah tangan di pihak mereka menjadi milik mutlak pada pilihanraya umum kali ini.
Majoriti pimpinan mereka ‘perasan’ yang kedudukan mereka di kalangan rakyat di negara ini sudah mantap sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Walhal, kita semua tahu sekiranya diukur dari kekuatan, PKR ini sebenarnya ‘menumpang’ sokongan rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat, iaitu DAP dan PAS. Sepertimana yang kita tahu, sebagai parti yang telah lama berjuang dalam arena politik negara, kedua-dua parti tersebut mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Itu tidak dapat disangkal. Kedua-duanya mempunyai asas sokongan padu di mana PAS didukung oleh sokongan kuat masyarakat beragama Islam yang setia dengan mereka manakala DAP pula, disebabkan pendirian mereka yang konsisten membela kaum Cina, menjadi ia parti nombor satu bagi masyarakat tersebut. PKR?

Namun seperti yang dinyatakan awal tadi, mereka kini berada dalam keadaan riak, takbur dan lupa daratan apabila cuba menafikan sumbangan parti-parti tersebut. Lebih menyedihkan lagi, parti-parti itu cuba di‘game’ demi kepentingan dan agenda politik murahan mereka yang sia-sia dan tidak menjurus ke arah kepentingan rakyat.
PSM, yang memiliki 1 kerusi DUN dan 1 kerusi Parlimen yang dimenangi atas tiket PKR pada 2008, atas sebab parti itu tidak berdaftar secara rasmi dengan ROS waktu itu, dilihat cuba dimangsakan oleh parti tamak haloba ini. Permintaan mereka untuk diberikan laluan oleh Pakatan di dalam menentang Barisan Nasional dilayan PKR seperti seorang anak kecil yang meminta gula dari ibunya.

Dan seolah-olah memperkecilkan keupayaan PSM, Saifuddin dilihat sedikit angkuh apabila enggan memberi sebarang jaminan yang partinya akan memberi laluan kepada PSM sebaliknya berulang kali menyatakan bahawa parti itu bukan rakan komponen pembangkang.
“Saya tak boleh jawab isu itu (tiga penjuru) belum berbangkit sekarang...isunya berkaitan dengan penggunaan lambang. Itu sahaja,” katanya seperti yang dilaporkan media.
Untuk rekod, PSM ketika ini menyandang kerusi di Parlimen Sungai Siput menerusi Dr Micheal Jeyakumar dan kerusi DUN Kota Damansara yang disandang Pengerusinya, Dr Nasir Hashim. PKR mendakwa kedua-dua kerusi tersebut diperuntukkan Pakatan untuknya. Selain dua kerusi tersebut, PSM turut bercadang untuk meletakkan calonnya di Semenyih.


Dan PKR seharusnya sedar yang parti-parti seperti PSM dan PRM mempunyai pengaruh mereka yang tersendiri. Seharusnya, berbekalkan matlamat yang sama iaitu untuk menewaskan BN, mereka perlukan support serta memberikan support mereka kepada parti-parti ini. Bukannya menganggap mereka sebagai ‘nyamuk’.
Dan untuk Saifuddin mengeluarkan kenyataan yang sombong begitu, sebenarnya ia berpotensi untuk memakan dirinya sendiri. Seperti yang diakui Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyatakan bahawa pertandingan tiga penjuru tidak mendatangkan manfaat kepada Pakatan. Ada benarnya kenyataan Karpal itu. Pertandingan tiga penjuru hanya akan memecahkan undi Pakatan dan memberikan kelebihan kepada BN. Dan melihatkan situasi politik semasa, Ketam tidak hairan sekiranya berlaku pertandingan empat, lima ataupun enam penjuru pada pilihanraya ini. Masakan tidak, sejak 2008, semua orang ‘terperasan’ yang mereka layak menjadi wakil rakyat. Ramai yang berlumba-lumba untuk mendapat gelaran ‘YB’. Situasi ini, tentunya adalah situasi yang akan memudaratkan Pakatan sekiranya mereka masih tampil sombong. Barang diingat, selain PSM dan PRM, ada lain-lain parti yang turut beragenda untuk meletakkan calon mereka seperti Hindraf dan beberapa organisasi lain. Ini belum dikira yang bakal tampil sebagai calon Bebas.
Justeru, sekiranya parti-parti kecil ini masih lagi dianggap mereka sebagai nyamuk ataupun pengacau, makanya bukanlah salah SPR ataupun pilihanraya tidak bersih dan sebagainya sekiranya ‘tsunami’ melanda mereka pula. Sebaliknya sikap sombong dan angkuh mereka sendiri yang harus dipersalahkan. Jika tidak kerana DAP dan PAS, mereka sebenarnya lebih nyamuk dari parti-parti yang mereka anggap nyamuk.
Adios!!!
No comments:
Post a Comment