Ketam

Biar Ketam Jalannya Senget Asal Fikirnya, Akalnya, Tuturnya Lurus

Thursday, February 28, 2013

Calon PMR maut terkena renjatan elektrik



Calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) maut akibat terkena renjatan elektrik daripada sebuah kotak kabel pembekal elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Idris Shah Kapar di sini pada 1.15 tengah hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Mohammad Amirul Syafiq Halim, 15, disahkan meninggal dunia ketika dibawa oleh anggota polis untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kapar di sini.
Menurut bapa mangsa, Halim Mohd Ismail, 38, beliau dimaklum mengenai kejadian itu kira-kira 1.20 tengah hari.

"Saya difahamkan anak saya berada di kawasan itu sementara menunggu bas untuk pulang ke rumah yg terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

"Sebaik melintasi kotak itu arwah terkena renjatan elektrik serta terhenti dan berada dalam keadaan berdiri tegak," katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Kata beliau lagi, mangsa merupakan anak sulung daripada empat adik beradik dan seorang yang pendiam.

"Arwah seorang yang pendiam dan tidak banyak bercakap. Kali terakhir saya bersembang dengannya pada 6 pagi tadi sebelum keluar pergi ke sekolah.

"Kami sekeluarga reda tapi berharap supaya pihak terbabit peka dan mengambil tindakan segera menutup kotak kabel elektrik bagi memastikan kejadian sama tidak berulang," katanya.

Halim berkata jenazah anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kapar petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengurus Besar TNB Selangor Datuk Mohd Azim Yusof yang dipetik sebagai berkata, pihaknya mendapati berlaku vandalisme pada kotak pembekal elektrik 33 kilo Volt (kV) berkenaan.

Beliau berkata pihaknya akan membaiki segera kotak itu dan kejadian berkenaan telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Tenaga.


Baca selebihnya di sini



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...